Loading...
SIL

Tragedi Kepala Air. Isteri Sempat Bagitau “SESUATU” Sebelum Terlepas Tangan Suami

Tragedi Kepala Air. Isteri Sempat Bagitau “SESUATU” Sebelum Terlepas Tangan Suami | Saya Luv Islam – Suami cerita detik ketika kepala air sampai, dia sempat paut pada dahan pokok dan sempat tarik tangan isterinya. Ketika kelam kabut tu, arus semakin kuat, isteri beritahu “sesuatu” sebelum terlepas tangan suami. Allahu. Al Fatihah.

SEMPAT PAUT TANGAN ISTERI TETAPI…

Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian pemancing hilang dibawa arus deras di sungai dekat kem tentera, Sungai Buloh hari ini, menceritakan detik cemas beliau dan isteri terlepas genggaman sehingga wanita itu dihanyutkan air yang datang secara tiba-tiba.

“Saya sempat berpaut dengan isteri saya sebelum terlepas tangannya hingga dia dibawa arus,” kata Mohd Rizal Mat Desa, 31, kepada Bernama mengenai apa yang menimpa Shilawati Zailan, 31.

Mohd Rizal yang tidak dapat menahan kesedihan, berkata beliau turut dihanyutkan arus deras namun sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan sebatang pokok dalam insiden yang berlaku ketika hujan lebat petang semalam.

“Selepas itu, saya ternampak tangan isteri saya dan terus saya terjun semula ke sungai untuk menyelamatkannya namun tidak berjaya,” katanya.

Mohd Rizal, yang bekerja sebagai pemandu lori, berkata beliau turut ternampak beberapa orang yang dibawa arus terkapai-kapai meminta pertolongan.

“Selain isteri saya, isteri kepada pakcik saya dipercayai turut hanyut dibawa arus,” katanya.

ISTERI BERITAHU “SESUATU” SEBELUM TERLEPAS TANGAN

Beliau berkata sebelum kejadian, beliau sempat menasihati isterinya agar tidak meneruskan niatnya memancing kerana berasa tidak sedap hati.

Mohd Rizal berkata dalam keadaan kelam kabut ketika dibawa arus, isterinya sempat mengucapkan sesuatu yang kini bermain di fikirannya.

“Saya sayang awak,” itulah kata-kata terakhir Shilawati yang dikahwini sejak 10 tahun lepas dengan dikurniakan dua cahaya mata.

PAKCIK TURUT HILANG ISTERI..

Dalam pada itu, suami kepada seorang lagi mangsa yang hilang, Jeleha Hashim, 53, berkata beliau hanya sempat melihat isterinya terkapai-kapai dibawa arus sebelum hilang daripada pandangan.

Kata Syamsul Azhar, 32,: “Pada awalnya, kami bertiga iaitu saya, isteri saya dan anak buah saya (Shilawati) tiba terlebih dulu untuk memancing sebelum Rizal sampai kira-kira 15 minit kemudian.

“Kami memancing di sini beramai-ramai dan semasa hujan, kami mula berkemas untuk pulang ke rumah,” kata Syamsul.

Menurutnya lagi, air deras (kepala air) datang secara tiba-tiba dan beliau sempat berpaut pada tiang jambatan.

Syamsul, yang menetap di PPR Seksyen 8, berkata beliau sememangnya bercadang untuk memancing pada hari ini.

Bekerja bersama Mohd Rizal sebagai kelindan lori, Syamsul mendakwa terdapat sekumpulan warga asing yang turut sama memancing di kawasan berkenaan. -Bernama

Sumber: Saya Luv Islam via Sinar Harian

MAYAT MANGSA PERTAMA BERJAYA DITEMUI

Seorang daripada lima individu yang dikhuatiri lemas di Sungai Gasi berhampiran Kem Paya Jaras di Sungai Buloh, ditemui kira-kira jam 9.49 malam tadi.

Mayat lelaki itu ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dihanyutkan arus sungai kira-kira 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu berkata, polis menerima tiga laporan dibuat mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, dua daripada mereka memberitahu ke lokasi bersama isteri masing-masing berusia 30 dan 48 tahun serta dua rakan yang juga anak beranak berusia 37 dan 14 tahun sebelum dihanyutkan arus deras sungai berikutan air pasang.

Polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki warga Indonesia yang mengatakan rakannya turut hilang dalam kejadian itu.

“Kami diberitahu ada pemancing warga asing lain juga berada di lokasi berkenaan dan dipercayai turut dikhuatiri lemas,”katanya..

Kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk mengesan mangsa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Terdahulu, kesemua mangsa termasuk dua wanita dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika memancing di sungai berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang, Yazli Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.42 petang.

Menurutnya, seramai sepuluh mangsa memancing di kawasan tersebut dan dua daripadanya sempat menyelamatkan diri.

“Seramai 25 anggota dari BBP Batu Arang dan Sungai Buloh terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa terdiri warga tempatan, Indonesia dan Bangladesh.

“Setakat malam ini pencarian ditumpukan di kawasan perangkap sampah di Paya Jaras Hulu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

UPDATE MAYAT KEDUA DITEMUI

Satu lagi mayat ditemui awal hari ini dalam operasi pencarian lima orang hilang dikhuatiri lemas ketika memancing di sungai berhampiran Kem Sungai Buloh semalam.

Ini membawa kepada jumlah dua mayat dijumpai setakat ini susulan insiden yang berlaku petang semalam apabila arus deras menghanyutkan mangsa manakala tiga lagi terselamat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mayat berkenaan yang lengkap berpakaian ditemui tersangkut pada pokok pada jam 1.26 pagi, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Gasi.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

Mayat pertama ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada jam 9.49 malam tadi.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa berdasarkan maklumat daripada siasatan awal kejadian mengenai kewujudan beberapa pemancing lain di kawasan itu ketika kejadian.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh, petang semalam, diteruskan sehingga ke pagi tadi.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Hassan ‘As’ari Omar berkata ketika ini operasi SAR tertumpu di Kampung Paya Jaras Hulu dan Kuala Selangor melibatkan 70 anggota daripada pelbagai agensi.

Bomba juga meminta orang awam membantu dengan memaklumkan sebarang penemuan mangsa kejadian.

Maklumat mutakhir menyatakan mayat seorang lelaki dijumpai kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 8 malam tadi di sungai tersebut walaupun laporan awal menyatakan mayat berkenaan ditemui pada 9.49 malam tadi.

Hassan ‘As’ari berkata dua bot penyelamat tiba di lokasi pencarian kira-kira 10 malam tadi untuk operasi SAR.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt S. Somu berkata keluarga mangsa sudah dipanggil bagi membuat pengecaman mayat dan misi mencari empat lagi yang masih hilang masih diteruskan.

Sumber: The Malay Mail

The post Tragedi Kepala Air. Isteri Sempat Bagitau “SESUATU” Sebelum Terlepas Tangan Suami appeared first on SAYALUVISLAM.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.